suria

Jangan Politikkan Isu Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa - Liow

Datuk Seri Liow Tiong Lai
KUALA LUMPUR: Isu pembinaan atau menaik taraf lapangan terbang antarabangsa tidak sepatutnya dipolitikkan kerana kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan sebaliknya bersedia mengkaji mana-mana permohonan yang dibuat mengenainya, memandangkan keperluan membina atau menaik taraf lapangan terbang kepada status antarabangsa memerlukan kajian mendalam.

" Ini adalah kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kos yang tinggi, faktor keselamatan serta permintaan daripada syarikat-syarikat penerbangan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat Kementerian Pengangkutan pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Liow berkata untuk mewujudkan atau menaik taraf lapangan terbang bertaraf antarabangsa, ia memerlukan permintaan penerbangan komersial yang tinggi khususnya keperluan dari luar negara, selain keperluan kastam dan tahap keselamatan.

"Ini bukan satu keputusan oleh Kementerian Pengangkutan sahaja. Sebaliknya ia membabitkan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan tidak membeza-bezakan antara negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang," katanya.

Mengenai lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim, Kedah, Liow berkata kerajaan sedang memperhalusi cadangan itu dan kajian tersebut dijangka mengambil masa enam bulan.

"Kita perlu DCA (Jabatan Penerbangan Awam) membuat kajian dari segi keselamatan ruang udara dan keselamatan navigasi, sementara Malaysian Airport Holdings Berhad pula berhubung darjah penglihatan komersial, dan juga kajian Unit Perancang Ekonomi," jelas beliau.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir memaklumkan kerajaan negeri Kedah sudah mengemukakan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu itu di Kedah kepada kerajaan pusat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri di utara tanah air.

Mukhriz berkata cadangan pembinaan lapangan terbang terbabit yang bakal beroperasi untuk kargo dan penumpang sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain