KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan bebas dan berani. Beliau turut menafikan dakwaan Anthony Loke (DAP-Seremban) kononnya SPR takut untuk melantik semula penolong pendaftar wakil parti politik kerana wujud agenda politik. "Tindakan SPR itu kerana mahu menyelaraskan semula (tugas-tugas) penolong pendaftar," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin. Anthony, kemudian bangun dan mempertahankan dakwaannya bahawa SPR tidak sepatutnya menamatkan perkhidmatan itu kerana parti pembangkang sudah membantu menambah bilangan pemilih. Shahidan, bagaimanapun berkata, SPR kini sedang mengemaskini tugas-tugas penolong pendaftar. "Kita hanya tangguhkan wakil parti politik tetapi badan bukan kerajaan dan pihak lain masih diteruskan. Harap bersabar," katanya.