suria

JIPS Tubuh 24 Pasukan Khas Pantau Premis Judi

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menubuhkan 24 pasukan khas di seluruh negara bagi memantau dan memeriksa premis mesin judi yang telah diserbu tetapi dikatakan masih beroperasi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zubaidah Md Ismail berkata ia berikutan terdapat premis mesin judi haram yang masih beroperasi walaupun telah diserbu dan diarah tutup sebelum ini.

Katanya lagi, pihaknya mengaku ada menerima aduan dan maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis yang bersubahat dengan sindiket perjudian bagaimanapun siasatan akan dijalankan bagi memastikan kesahihan maklumat.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan pasukan khas itu akan ditulis dalam satu bentuk laporan.

Laporan itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan beliau sendiri akan memutuskan bentuk tindakan yang akan dikenakan kepada ketua polis negeri, daerah mahupun balai kerana gagal mengawal kegiatan judi haram di kawasan mereka," katanya kepada pemberita di Bukit Aman, di sini, Rabu.

Bagaimanapun, pegawai dan anggota polis tidak perlu khuatir dengan langkah yang diambil JIPS sebaliknya ia bertujuan bagi membersihkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari terlibat dengan kegiatan judi haram, kata Zubaidah.

Katanya, sejak Januari hingga Oktober lepas, pihaknya menerima 57 aduan dan 13 maklumat berhubung dengan kegiatan mesin perjudian dan perjudian terbuka di seluruh negara.

Tambahnya, JIPS akan memastikan semua warga PDRM mematuhi arahan, prosedur dan undang-undang yang terpakai dalam menangani kegiatan judi haram itu.

"Antara langkah yang diambil adalah memastikan ketua-ketua polis dan pesuruhjaya polis negeri dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas kegiatan mesin judi haram yang beroperasi di kontinjen masing-masing.

Mengesyorkan KPN untuk mengambil tindakan tegas, menjalankan semakan dari semasa ke semasa ke atas laporan-laporan polis yang dibuat terhadap serbuan mesin judi haram dan mewujudkan Hotline 1800-880-222 bagi memudahkan anggota masyarakat mengemukakan aduan, maklumat atau laporan," katanya.

Beliau berkata PDRM amat komited dalam membanteras aktiviti judi haram demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"PDRM mengharapkan anggota masyarakat akan terus memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat tentang sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan usaha murni ini," katanya.


JIPS, Judi, Polis

Artikel Lain