suria

PTPTN: Data Peribadi Lebih 500,000 Peminjam Degil Disenarai CCRIS

KUALA LUMPUR: Bermula Januari 2015, seramai 173,985 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal melunaskan bayaran pinjaman membabitkan tunggakan sebanyak RM1.23 bilion akan disenaraikan dalam Sistem Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Jumlah itu adalah kumpulan pertama daripada keseluruhannya 558,475 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan yang mencecah RM4.3 bilion sehingga 30 September lalu.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam terawal yang disenaraikan dalam CCRIS itu membabitkan mereka yang gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh tiga tahun (bermula 2010 dan sebelumnya) daripada tarikh yang ditetapkan untuk berbuat demikian

"Langkah yang akan dilaksanakan ini bertujuan mendisiplinkan peminjam supaya lebih bertanggungjawab menjelaskan pinjaman.

"Penguatkuasaan sistem ini juga bagi menyediakan peruntukan pinjaman pendidikan berjumlah RM5 bilion setiap tahun kepada peminjam baharu," katanya pada sidang media pengumuman pelaksanaan penyenaraian peminjam PTPTN di dalam CCRIS di sini, Rabu.

Jelasnya, keputusan tersebut merupakan langkah terbaik buat masa ini memandangkan pelbagai ruang dan peluang telah diberikan kepada peminjam ini supaya melunaskan pinjaman mereka.

"Ia keputusan yang terpaksa kita ambil... adalah tidak adil bagi pemohon baharu jika hak mereka dinafikan dan kita masih beri ruang dan peluang kepada peminjam yang berdegil melunaskan pinjaman mereka," katanya.

Shamsul Anuar berkata, sehingga 30 September lalu, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman pendidikan yang diterima adalah RM5.41 bilion membabitkan 996, 610 peminjam.

Beliau berkata, CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam, sebaliknya berfungsi sebagai rujukan rekod kredit.

"CCRIS adalah sistem yang mengumpul maklumat mengenai individu yang membuat pinjaman daripada institusi kewangan dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan lain.

"Maklumat yang diperoleh untuk membentuk pandangan mengenai sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka," katanya.

Beliau berkata, maklumat di dalam CCRIS merangkumi data pengenalan diri peminjam seperti nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir serta maklumat berkaitan pinjaman peminjam.

"Dengan penyenaraian butiran peminjam, institusi kewangan akan mempunyai maklumat kredit yang lebih menyeluruh semasa membuat pertimbangan permohonan kredit," katanya.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, dengan pelaksanaan sistem ini, peminjam tegar khususnya akan lebih bertanggungjawab untuk memastikan komitmen bayaran bulanan mereka dibuat secara konsisten.

"Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menjejaskan tahap kepercayaan kredit peminjam PTPTN tersebut. Sekiranya rekod pembayaran baik dan konsisten, laporan kredit CCRIS akan membantu mereka dalam memohon kelulusan pinjaman baharu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan peminjam yang masih belum membuat bayaran balik untuk hadir ke mana-mana 25 cawangan PTPTN di seluruh negara bagi berbincang mengenai kaedah pembayaran balik selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Katanya, PTPTN menyediakan tiga pilihan pembayaran balik pinjaman iaitu memberikan diskaun 20 peratus kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh sekali gus, penjadualan semula pinjaman dengan penyelesaian secara ansuran dalam tempoh 12 bulan dan mendapat rebat 10 peratus serta penstrukturan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan tidak melebihi umur 60 tahun.

"Kita tidaklah kejam. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, mereka boleh datang berunding dengan kita. Kita akan cari penyelesaian terbaik bagi mengelakkan mereka disenaraikan dalam CCRIS," katanya.




Artikel Sebelum

Artikel Lain