suria

Dua Pengawal Keselamatan Mengaku Salah Larikan Wang Tunai RM1.8 Juta

PETALING JAYA: Dua pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas pertuduhan pecah amanah dengan melarikan wang tunai berjumlah RM1.8 juta yang dipungut daripada premis perniagaan di Seri Kembangan, dekat sini, Isnin lepas.

Kasim Taysing, 35, dan Adrin Jalil, 36, yang ditugaskan sebagai pemungut wang hasil jualan didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas, didakwa melarikan wang milik Syarikat Safeguard G4S Sdn. Bhd., di tepi jalan Putra Permai 1A, Seri Kembangan pada 9.42 malam, 27 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim Abu Bakar Manan menetapkan esok untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raya Nuraishah Ahmad Zakiuddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Majistret di sini, rakan tertuduh, Ayub Zulkifli, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu wang tunai sebanyak RM1.1 juta daripada jumlah yang dilarikan itu.

Ayub, yang juga bekas pekerja syarikat keselamatan itu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor B13, Felda Semarak, Jerantut, Pahang pada pukul 3.30 pagi, 29 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret K. B Elena Hong Tze Lan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat, menjalankan pendakwaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain