suria

Abu Sayyaf Tunjuk Bukti Wang Tebusan Dibayar

Sejumlah wang yang dipaparkan dalam rakaman klip video yang didedahkan kumpulan Abu Sayyaf.
PETALING JAYA: Kumpulan Abu Sayyaf mendedahkan rakaman video yang memaparkan sejumlah wang tunai bernilai 250 juta peso (RM18.5 juta) yang didakwa dibayar sebagai wang tebusan bagi pembebasan dua warga Jerman yang diculik.

Seorang jurucakap kumpulan tersebut, Muamar Askali yang juga dikenali sebagai Abu Rami, memuat naik klip video tersebut di laman sosial Facebook minggu lalu untuk menepis dakwaan tiada wang tebusan dibayar bagi membebaskan pasangan warga Jerman, Stefan Viktor Okonek dan Henrike Dielen yang diculik pada April lalu.

Namun, rakaman video itu telah dipadamkan pada Sabtu lalu.

The Philippine Star melaporkan kumpulan militan tersebut dilihat mengumpul wang tersebut dan meletakkannya di atas sebuah beg plastik besar berwarna hitam.

Klip video berdurasi tiga minit itu turut menunjukkan beberapa anggota kumpulan tersebut berdiri di sekeliling wang berkenaan dengan bendera hitam ISIS turut kelihatan sebagai latar belakang dalam video tersebut.

“Alhamdulillah, kami berjaya menafikan kenyataan kerajaan Filipina yang mengatakan tiada amalan pemberian wang tebusan," kata Askali dalam rakaman video itu.

Sementara itu, Komander Bersama Pasukan Petugas Basulta, Laksamana Reynaldo Yoma yang bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap Abu Sayyaf, enggan mengulas lanjut mengenai pembayaran wang tebusan seperti yang didakwa kumpulan militan berkenaan.

Yoma dipetik sebagai berkata, pasukan tersebut akan meneruskan operasi tanpa henti bagi menangkap kumpulan militan berkenaan.


wang tebusan, Jerman, culik, Abu Sayyaf

Artikel Lain