CAMERON HIGHLANDS: Randy Chok berpaut erat pada daun pintu hadapan rumahnya di Kampung Baru Ringlet ketika air banjir mula masuk ke bahagian dalam rumah. Warga emas tidak berkerja berusia 75 tahun itu berkata air naik dengan cepat sehingga ke paras dadanya kira-kira pukul 7 malam dan pada ketika itu dia membayangkan dirinya akan tenggelam dan hanyut. "Sebelum itu saya sudah keluar dan pulang ke rumah pukul 5.30 petang ketika hujan mula turun. "Paras air sudah ke paras betis ketika itu dan saya tidak fikir ia akan naik dengan begitu cepat," katanya. "Saya mula panik apabila air mula naik lebih tinggi dan saya berpaut pada pintu," katanya. Chok berkata, empat lelaki kemudian muncul dan menyelamatkan dirinya. "Saya tidak tahu siapa mereka, tetapi mereka menyelamatkan saya dan membawa saya ke tempat yang lebih tinggi. "Jika bukan kerana mereka, saya akan hanyut," katanya, sambil menambah bahawa dia telah tinggal di sana selama 50 tahun. Seorang lagi penduduk kampung, Leong Tee Chang, 66, berkata keretanya rosak selepas dihanyutkan oleh arus banjir kira-kira lebih dari 1 km. "Saya meletak kereta saya kira-kira 1 km dari rumah, tetapi ia dihanyutkan sehingga dekat dengan rumah saya. "Rumah saya rosak teruk dan kebanyakan perabot juga rosak," katanya. "Ketiga-tiga set televisyen dari rumah saya telah hanyut." Leong berkata keluarganya, termasuk isterinya, anak perempuan dan tiga orang cucunya tidak mengalami sebarang kecederaan.