IPOH: Tan Sri Michelle Yeoh mengimbas kembali kenangan bersama ayahnya Datuk Yeoh Kian Teik. Bintang filem antarabangsa yang diiktiraf itu berkata ayahnya adalah orang yang paling penting dalam hidupnya, 'seorang lelaki yang baik dan seorang wira'. "Saya harap apa yang saya telah lakukan, dan akan saya lakukan, akan selalu membuatkan dia bangga. "Dia mengajar kami menjadi seorang individu, percayakan diri sendiri dan jika membuat kesalahan, kita harus belajar daripadanya," kata Michelle kepada pemberita di kediamannya di Lebuh Lasam di sini. Kian Teik meninggal dunia di rumahnya kira-kira pukul 6.15 petang Rabu. Michelle berkata beliau terkenangkan kenangan indah percutian dengan ayahnya ketika beliau masih muda, termasuklah pergi memancing ke Pulau Sembilan dekat Pulau Pangkor. Beliau berkata ayahnya seorang yang 'tidak banyak bercakap' tetapi akan memberi 'nasihat tanpa memberi nasihat' yang akan membuatkan beliau dan adik-beradik yang lain berfikir tentang bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. "Walaupun dia seorang peguam, dia tidak pernah menetapkan kami perlu menjadi peguam sepertinya, atau pun menjadi doktor, tetapi sebaliknya memberitahu kami untuk mengejar impian masing-masing," katanya. Katanya, itulah adalah nasihat terbaik yang pernah diterima daripada bapanya. Beliau berkata ayahnya tidak pernah memukul anak-anaknya, menjerit atau berteriak kepada mereka tetapi lebih bersikap tenang. Ayahnya juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk menjadi seorang yang berani berdepan cabaran selain seorang yang suka menikmati makanan. "Saya kembali tiga hari lalu dan saya gembira kerana saya dapat menghabiskan masa dengan bapa saya. "Saya sedang menjalani penggambaran untuk siri televisyen bertajuk 'Strike Back' di Budapest ketika saya menerima panggilan telefon daripada keluarga saya memberitahu tentang keadaan kesihatan ayah saya. "Saya dijadualkan berada di Los Angeles pada Rabu (5 Nov) untuk menerima hadiah 'Angel Ambassador' untuk Anugerah USA-China," katanya sambil menambah beliau akan memulakan kerja setelah menyelesaikan perkara-perkara di sini. "Syarikat produksi faham dan saya yakin mereka dapat membuat penyesuaian," tambah beliau. Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pengerusi MCA negeri Datuk Dr Mah Hang Soon memberi penghormatan terakhir kepada Kian Teck, yang juga seorang bekas pengerusi MCA. Dr Zambry berkata Kian Teik adalah seorang tokoh yang terkenal, berada di kalangan beberapa pemimpin masyarakat yang memainkan peranan penting dalam memberi sumbangan kepada negeri Perak dan negara. "Dia adalah seorang peguam yang terkenal, ahli politik dan terlibat dalam aktiviti sosial dan kebajikan." Kian Teik akan dikebumikan di Paradise Memorial Park di Tanjung Rambutan pada hari Ahad.