suria

Warga Emas OKU Maut Dalam Kebakaran Di Parit

IPOH: Seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) maut apabila rumah yang didiaminya di Kampung Sungai Korok, Parit, kira-kira 36 kilometer dari sini, terbakar pagi Rabu.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, Zainal Azmi Abu Hassan, 63, yang lumpuh kaki kanan meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas terhidu asap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah DSP Leong Ah Kow berkata mangsa yang tinggal seorang diri itu sedang tidur ketika kejadian dan tidak sempat menyelamatkan diri.

"Kebakaran berpunca daripada litar pintas dan mangsa tidak sempat melarikan diri dan mati di tempat kejadian," katanya.

Katanya 80 peratus daripada rumah dua tingkat separuh batu dan papan itu musnah dan kerugian dianggar berjumlah RM40,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Asmahisham Abdul Aziz berkata dua jentera dengan 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi Bomba, Ipoh pada 5.25 pagi.

"Operasi pemadaman dijalankan 55 minit sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6.30 pagi," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
OKU, maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain