suria

Demokrat Islam Boleh Selesaikan Fahaman Pelampau Dunia

Dr Maszlee Malik.
KUALA LUMPUR: Demokrat Islam boleh menjadi penyelesaian kepada membendung fahaman pelampau di seluruh dunia kerana mereka membawa pendekatan sederhana dalam dunia masa kini menerusi peti undi, kata ahli akademik dan ahli politik.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata Demokrat Islam, yang menjadi terkenal selepas peristiwa 'Arab Spring', membenarkan umat Islam untuk mengawal nasib mereka melalui peti undi dan bukannya perang atau di tangan pemimpin diktator, sekali gus menamatkan rasa tidak puas hati mereka.
 
"Idea mengenai Demokrat Islam wujud sejak sekian lama. Kumpulan radikal muncul kerana mereka mendapati tiadanya harapan bagi umat Islam untuk menikmati keadilan, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik," katanya pada perbincangan meja bulat mengenai Demokrat Islam anjuran Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) bersama-sama dengan Jabatan Fiqh UIAM di sini, hari ini.

Pengerusi saluran TV Al-Hiwar yang berpejabat di London, Dr Azzam Tamimi, pula berkata 'Arab Spring' merupakan peristiwa yang membenarkan demokrasi dilaksanakan di Timur Tengah, dan pada masa sama menjadikan kumpulan militan Al Qaeda sebagai pergerakan yang tidak relevan.
 
"Kejayaan 'Arab Spring' seperti yang kita lihat di Tunisia dan Mesir adalah amat menyakinkan, menunjukkan bahawa ini adalah jalan ke hadapan. Beberapa pemimpin Al Qaeda sebenarnya bimbang, jika model ini berjaya, ia membuktikan mereka sebenarnya salah,"katanya.

Sambil menekankan definisi Demokrat Islam masih berbeza-beza dan bergantung kepada bagaimana orang berhubung dengan ideologi itu, Dr Azzam berkata perjuangan untuk Demokrat Islam di Timur Tengah masih berterusan.

GMM, dalam laman webnya, menyatakan Demokrat Islam adalah istilah khas yang merujuk kepada pemain baharu yang mahu menggunakan pendekatan prinsip-prinsip Islam dalam dasar awam yang merangkumi rangka kerja demokratik termasuk di Maghribi dan Tunisia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun orang Barat agak berwaspada dengan ideologi itu, Demokrat Islam seperti PAS berjaya wujud selama 60 tahun di Malaysia.

Namun, katanya Demokrat Islam meghadapi masalah untuk menyeimbangkan antara menjadi demokratik dan menegakkan nilai-nilai Islam sebenar dalam usaha menjadi relevan dalam negara yang pelbagai seperti Malaysia.
 
"Parti Demokrat Islam perlu tampil dengan cadangan universal yang boleh menyakinkan rakyat, iaitu orang Islam dan bukan Islam. Oleh itu, ia perlu melibatkan diri dengan orang awam, membenarkan adanya forum perbezaan dan kurang membuat pertimbangan," katanya.

Demokrat Islam

Artikel Lain