GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang, menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) didakwa membuat pengambilan tanah dengan harga rendah dan menjual rumah yang dibina di tanah itu pada harga yang tinggi. Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mendakwa projek perumahan di bawah PDC dijual melebihi harga siling dan had yang dimohon kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. "Misalnya, projek rumah yang dibangunkan PDC, Intan Delima Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang memperoleh Sijil Menduduki (OC) pada 2013, dijual dengan harga RM306,360," katanya pada sidang media di lobi DUN di sini, Khamis. "Jualan ini melebihi had yang dimohon kepada kementerian. Harganya juga melebihi harga rumah mampu milik. Di Seberang Perai, harga siling rumah ialah RM250,000. Namun, yang dilaporkan oleh PDC kepada kementerian untuk projek itu harga siling adalah RN220,000," kata ADUN Teluk Air Tawar itu.