suria

Adam Zikri Terjatuh, Bukan Dicampak - Polis

SEREMBAN: Adam Zikri Faizul Khairy, 6, kanak-kanak yang dijumpai terdampar di kaki lima Sekolah Kebangsaan Tasik Jaya di sini, pada Rabu, dipercayai terjatuh dan bukan dicampak dari tingkat dua sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban Supt Muhamad Zaki Harun berkata pihak polis menerima panggilan pada kira-kira 2.55 petang semalam dan ketika kejadian berlaku, sesi persekolahan telah tamat.

"Kita sudah dapatkan keterangan dari tiga orang murid berusia 11 tahun pagi ini, dan mereka memberitahu ketika kejadian berlaku, ada seorang kanak-kanak autisme berumur 12 tahun yang bersekolah di sekolah pendidikan khas telah berjumpa dengan mangsa di tingkat dua dan mengangkat mangsa lalu diletakkan di atas tembok koridor.

"Kemudian mungkin kerana mangsa dalam keadaan tidak stabil kerana tembok koridor tersebut yang permukaannya kecil, menyebabkan mangsa tidak seimbang lalu terjatuh dari ketinggian lebuh kurang 20-30 kaki," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata kanak-kanak autisme yang berbadan agak besar ini cuba menyelamatkan mangsa tetapi tidak sempat berbuat demikian.

"Dari keterangan yang diberi, kita lihat ia konsisten dengan apa yang berlaku," katanya.

Muhamad Zaki berkata pihak polis telah menemu bual kanak-kanak autisme yang juga merupakan murid Program Pendudukan Khas Integrasi, dan mendapati kanak-kanak ini seorang yang hiperaktif dan dia tidak tahu akan akibat perbuatannya.

"Kita sudah buka kertas siasatan awal dan akan kemukakan kes ini ke pihak pendakwa raya. Di dalam undang-undang juga menyebutkan kanak-kanak berumur 12 tahun sekiranya dia tidak mengetahui apa perbuatannya, tidak menjadi satu kesalahan," katanya.

Sementara itu, bapa kepada Adam Zikri, Faizul Khairy Zulkifli, 38, ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar di sini berkata anaknya dalam keadaan stabil dan hanya mengalami patah kaki kanan dan tangan kiri selain cedera pada kepala.

Beliau berkata Adam Zikri telah selesai menjalani pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan imbasan magnetik resonan (MRI) dan doktor memberitahu tiada pendarahan dalaman berlaku.

"Adam Zikri sudah boleh bercakap dan ketika sedar dia minta saya milo ais dan vitagen. Dia kini dalam proses penyembuhan," katanya.

Faizul Khairi berkata pihaknya tiada dendam dengan murid terlibat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

"Fokus saya hanya kepada anak saya dan saya sudah buat laporan polis pagi tadi untuk proses tuntutan insurans kelak," katanya.

Adam Zikri, 6, merupakan anak bongsu dari tiga beradik dan merupakan murid prasekolah Taman Tasik Jaya di sini.

Serembak, Dicampak, MRI

Artikel Sebelum

Artikel Lain