ALOR SETAR: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Sungai Nonang, Simpang Empat dekat sini yang masih trauma dengan kejadian puting beliung yang menimpa keluarganya semalam, menguatkan semangatnya untuk menduduki peperiksaan itu pagi Khamis. Nurul Atikah Jamal, 17 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abd Aziz, Simpang Empat dekat sini hari ini menduduki peperiksaan mata pelajaran Sejarah Kertas 3. Anak ketiga dari lima beradik itu berkata ketika dalam dewan peperiksaan pagi tadi dia mampu menjawab peperiksaan dengan baik walaupun perasaan trauma mengenai kejadian yang menimpa keluarganya bermain di fikirannya. Katanya dia bertuah kerana rakan-rakan dan guru sekolahnya telah berjumpa dengannya selepas mengetahui kejadian itu menimpa keluarganya serta memberi semangat untuknya memberi fokus kepada peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya nanti. "Saya bersabar dengan ujian ini dan saya harap kejadian ini tidak melunturkan semangat saya untuk hadapi baki empat laki kertas peperiksaan iaitu Matematik Tambahan, Geografi, Sains dan Ekonomi Rumah Tangga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini. Nurul Atikah berkata dia terpaksa menumpang di rumah seorang rakan di Taman Bersatu, Simpang Empat dekat sini selepas rumahnya rosak teruk dipukul puting beliung kira-kira pukul 2.45 petang Rabu. Katanya dia tidak dapat memberi fokus ketika mengulangkaji pelajaran di rumah rakannya kerana memikirkan ahli keluarganya yang terpaksa tinggal dalam keadaan rumah mereka rosak dan bergelap kerana tiada bekalan elektrik. "Semua buku empat mata pelajaran yang tinggal basah terkena air hujan. Saya syukur sebab ada rakan-rakan sudi meminjamkan buku mereka kepada saya untuk mengulang kaji sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan itu," katanya. Menceritakan detik cemas petang semalam, Nurul Atikah berkata ketika terdengar deruan angin kuat dia melihat pusaran angin besar melalui tingkap rumahnya sebelum berlari bersama ibu dan dua adiknya, seorang lelaki dan seorang perempuan, ke dalam sebuah bilik. Katanya mereka yang ketakutan ketika itu berpeluk sesama sendiri kerana takut selepas melihat pusaran angin itu menerbangkan bumbung rumah jirannya dalam sekelip mata. Dalam kejadian itu sebanyak 19 buah rumah terlibat di mana enam rumah rosak teruk pada bahagian bumbung. Tiada kecederaan dilaporkan.