suria

Tiga Pelukis Pahang Sertai Bazar Seni Di Milan

Karya yang memfokuskan mawar hasil kerja tangan Najihah.

PETALING JAYA: Tiga pelukis Pahang bakal melakar sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi sebahagian delegasi Malaysia untuk mempersembahkan hasil karya mereka di Milan, Itali mulai hujung bulan ini.

Bernaung di bawah Rajawali Art Group di Kuantan, ketiga-tiga pelukis ini, Najihah Lee Abdullah, Mohd Nazri Mat Sood dan Osman Limat disunting Balai Seni Visual Negara untuk menyertai L'artigiano In Fiera, sebuah acara bazar seni mulai 29 November sehingga 8 Disember ini. Semuanya 10 wakil Malaysia akan mempertaruhkan hasil seni masing-masing.

Pelukis Pahang, Najihah berkata, dia sangat gembira dan berasa dihargai apabila dipilih ke festival itu dan berazam menghasilkan lukisan bermutu tinggi mengikut aliran seni lukis yang dilaluinya.

Najihah yang terkenal dengan lukisan bunga-bungaan bersaiz gergasi namun menawan.

“Saya akan membawa 10 lukisan pelbagai saiz serta menyiapkan sekurang-kurangnya lima lukisan lagi secara 'live' di Milan,” katanya yang juga seorang guru sekolah menengah di Kuantan dan bekas penuntut jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menjadikan anatomi bunga mawar sebagai subjek kajian utama dalam lukisannya, kata Najihah, bunga itu mempunyai pelbagai signifikan dalam kehidupan seharian, termasuk politik, agama dan konflik.

“Manusia juga sering mengungkapkan mawar untuk menzahirkan rasa kasih sayang, selain digunakan sebagai wahag perubatan sufi,” katanya yang mewakili dua rakannya mengharapkan sokongan kerajaan Pahang terutama dalam bentuk kewangan untuk mereka bertiga di Itali nanti.

Sementara itu, Mohd Nazri pula berkata, dia juga teruja apabila namanya dipilih untuk mewakili Malaysia di Milan.

Nazri sedang asyik menyiapkan hasil seni bukan sahaja untuk kepuasan diri, malah umum.

Dia yang berpengalaman menjadi pelukis kulit buku dan novel berkata, tumpuan lukisannya ialah ayam serama.

“Sejak lama dulu saya tertarik kepada keindahan ayam serama dan apa salahnya jika kita pamerkan keistimewaan itu di negara orang,” katanya.

Ayam serama adalah identiti Nazri.

Selain melukis ayam, Nazri juga bercadang menghasilkan lukisan potret di Milan nanti.

Osman sedang menyiapkan hasil karyanya

Seorang lagi pelukis dari kumpulan seniman Rajawali ialah bekas pembantu jurulatih sukan berbasikal kebangsaan, Osman Limat.

Beliau yang berpengalaman menyertai pameran seni di sekitar rantau ini meletakkan harapan untuk mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di peringkat global.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain