suria

Mangsa Banjir Kilat Di Trolak Dibenarkan Pulang Selepas Empat Jam

Pasukan bomba membantu mangsa banjir kilat di Trolak ke pusat pemindahan sementara pada Khamis malam.

IPOH: Sebanyak 36 buah rumah di Trolak Pekan dekat sini, ditenggelami air sedalam satu meter akibat banjir kilat yang berlaku di kawasan itu malam Khamis.

Bagaimanapun, semua 132 mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saedin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.16 malam Khamis dan mengarahkan anggota memindahkan 100 mangsa ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Trolak Pekan.

"Anggota membantu memindahkan mangsa yang terperangkap dengan menggunakan bot kerana air telah mencecah paras pinggang," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Beliau berkata, hujan lebat antara tiga dan empat jam menyebabkan air sungai melimpah dan berlakunya banjir di kawasan tersebut.

"Kawasan itu memang cepat dinaiki air sekiranya hujan lebat yang terlalu lama, namun air banjir juga surut dengan cepat," katanya.

Md Zin berkata, air banjir mula surut kira-kira 11.30 malam dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

 

Trolak, banjir kilat

Artikel Berikut

Raja Judi Tahanan PCA Pertama

Artikel Lain