suria

Tanah Runtuh Tak Jejaskan Ladang Sayur Berdaftar - Ismail Sabri

Harga sayur-sayuran terutama daun ketumbar, bawang dan cili meningkat naik 20 peratus sejak insiden banjir kilat dan operasi pekerja haram di Cameron Highlands.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, kejadian banjir yang melanda Lembah Bertam dan Ringlet di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini tidak akan menjejaskan pengeluaran sayur di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, Cameron Highlands menghasilkan 1.5 juta tan sayuran setahun.

"Jumlah itu dihasilkan ladang-ladang yang berdaftar di Cameron Highlands, manakala hasil tanaman sayur-sayuran dari ladang-ladang haram tidak termasuk dalam jumlah pengeluaran itu.

"Jadi, jika sesuatu terjadi di situ, ia tidak sepatutnya memberi kesan kepada harga sayur-sayuran di pasaran," jelasnya selepas melancarkan Seminar Kepimpinan Peladangnita Kebangsaan 2014 pada Khamis.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memastikan harga sayur-sayuran tidak meningkat keterlaluan.

Sementara itu, mengenai tindakan terhadap ladang-ladang haram, Ismail Sabri berkata, ia bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Ini berkaitan dengan isu tanah dan sebagainya, jadi ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri."

Artikel Sebelum

Artikel Lain