suria

Fahmi Anggap JPA Tak Adil

Fahmi Zainol.
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol menganggap tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan biasiswanya adalah tidak adil.

Perkara itu dinyatakan dalam surat tunjuk sebab bertarikh 6 November lalu yang dikeluarkan JPA terhadap penuntut berkenaan.

JPA memberi tempoh tujuh hari kepada pelajar tahun akhir Fakulti Sastera dan Sosial itu untuk menjawab surat berkenaan atau berdepan dengan tindakan pembatalan biasiswa yang diterimanya.

Surat yang ditandatangani Ruziah Shafie bagi pihak ketua pengarah jabatan itu menyatakan Fahmi telah melanggar terma perjanjian biasiswa yang ditandatanganinya pada 2011.

Antara lain isi kandungan surat tunjuk sebab itu memaklumkan Fahmi telah mengeluarkan kenyataan negatif serta provokatif terhadap kerajaan dengan mengaitkan tindakannya dengan 'Umbrella Revolution Hong Kong' dan rusuhan pelajar di Indonesia.

"Kegagalan saudara mematuhi surat ini menyebabkan penajaan saudara boleh ditamatkan serta-merta dan tuntutan terhadap saudara dan penjamin akan dilakukan oleh jabatan ini," menurut Ruziah dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Fahmi ketika dihubungi berkata, beliau telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut dan menghantarnya ke Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA pada Jumaat.

"Saya dah jawab surat tunjuk sebab itu dan bagi saya ini tidak adil (tindakan menarik balik biasiswa), mengapa JPA perlu berbuat demikian.

"Dalam surat tersebut saya telah menegaskan saya tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar undang-undang negara dan Kaedah-Kaedah UM (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999," katanya ketika dihubungi mStar Online melalui aplikasi WhatsApp.

Fahmi yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, beliau merupakan seorang pelajar yang rajin mematuhi semua peraturan akademik di bawah Fasal 5.1 (a)-(e) dalam Perjanjian Biasiswa Persekutuan.

Oleh itu, beliau menjelaskan dia belum didapati bersalah hingga dibuktikan bersalah sementara menunggu keputusan prosiding Lembaga Tatatertib UM yang telah ditangguhkan hingga 18 November ini.

"Buat masa ini saya tidak bersalah atas tuduhan-tuduhan yang telah dinyatakan dalam notis surat tunjuk sebab tersebut. Sehingga pihak UM menyampaikan keputusan prosiding tatatertib itu saya masih berpendapat saya tidak bersalah dan tidak melanggar mana-mana undang-undang negara mahupun UM," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Fahmi dan tujuh lagi mahasiswa UM disiasat oleh Lembaga Tatatertib UM susulan tindakannya menganjurkan pidato "40 Tahun: Dari UM ke Penjara" bulan lepas.

Kelapan-lapan mahasiswa itu berdepan pelbagai dakwaan termasuk menganjurkan perhimpunan haram, menghadiri perhimpunan haram dan mengingkari arahan universiti.

Pada 27 Oktober lepas, sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa dan mahasiswi telah merempuh masuk pintu pagar UM bagi menghadiri acara pidato bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Lain