suria

Program CSR Petronas Dilancar Di Luar Bandar Sabah Awal Tahun Depan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Kompleks Sukan Likas, Ahad. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas di kawasan luar bandar Sabah akan dilancarkan awal tahun depan bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya juga setuju supaya program CSR ditambah di Sabah terutama di luar bandar. Saya akan datang ke Sabah awal tahun depan untuk melancarkan program CSR di Sabah.

"Tan Sri (Joseph) Pairin (Kitingan) cakap kemudahan luar bandar seperti ada rumah dan sekolah serta masih ada orang susah. Adalah menjadi hasrat kita untuk membantu supaya pembangunan seimbang antara Sabah dengan agenda di Semenanjung," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, Ahad.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi BN negeri Datuk Seri Musa Aman; Pairin; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Najib berkata langkah itu merupakan komitmen kerajaan yang berada di landasan benar untuk terus memajukan negeri ini sekali gus membantu membela nasib rakyat Sabah terutama golongan kurang berkemampuan.

Menteri Kewangan itu berkata pada masa ini, kerajaan negeri mendapat royalti minyak lima peratus atau RM1 bilion setahun selain mendapat kepentingan 10 peratus dalam Petronas LNG Sdn Bhd 9, di Bintulu, Sarawak yang memberi hasil tambahan kepada rakyat Sabah.

"Soal royalti minyak, kita faham bahawa rakyat Sabah hendak royalti minyak, tapi yang penting sekali bukan royalti itu sebab yang patut kita utamakan ialah pendapatan atau hasil kerajaan negeri...itulah yang penting. 

"Kalau nak Projek Sabah Ammonia Urea (Samur), kita berilah (saham atau kepentingan) supaya rakyat Sabah akan merasai pembangunan yang benar-benar menguntungkan mereka dan bahawa pelaburan minyak ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyatnya," katanya.

Dalam soal keselamatan, Najib berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian bagi menjamin kesejahteraan 'rakyat Sabah yang memilih untuk berada di dalam Malaysia' dengan meluluskan peruntukan RM660 juta kepada Kawasan Keselamatan
Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Katanya, kerajaan pusat dengan kerjasama Petronas juga sedang mengubah suai pelantar minyak yang akan berfungsi sebagai garisan pertahanan pertama yang mempunyai sistem radar selain menempatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama pasukan lain serta aset bot laju di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Najib berkata pelantar minyak yang menelan kos RM230 juta itu dilengkapi sistem radar yang akan ditempatkan di perairan berhampiran sempadan negara bagi memperkukuhkan pertahanan Esscom.

Beliau turut menzahirkan uacapan tahniah atas usaha pasukan keselamatan menumpaskan penjenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah baru-baru ini yang membuktikan tindakan tegas kerajaan menangani kes itu. 


Artikel Berikut

Artikel Lain