BERA: Kerajaan menyasarkan dapat mengeluarkan kira-kira 50 peratus keperluan bekalan makanan negara, termasuk daging, menjelang tahun 2020. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat masa ini negara masih mengimport bekalan makanan disebabkan kekurangan bekalan. Sebagai contoh, katanya, pada tahun lepas, pengeluaran daging lembu dan kerbau negara adalah sebanyak 54,000 tan metrik iaitu hanya dapat memenuhi 30 peratus keperluan permintaan. "Kita hanya mempunyai lebih kurang 751,781 ekor lembu, 118,045 ekor kerbau, 482,280 ekor kambing dan 129,085 ekor bebiri. "Walaupun bilangan penternak lembu dan kerbau 47,000 orang, dan 25,000 penternak kambing dan bebiri, tetapi kebanyakan mereka adalah penternak berskala kecil yang memelihara ternakan kurang daripada 20 ekor dengan pendapatan kasar kira-kira RM500 sebulan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan peralatan mesin ternakan kepada pengusaha ternakan di Parlimen Bera di perkarangan Pejabat Veterinar Bera di sini, Ahad. Ismail Sabri berkata untuk memastikan bekalan daging mencukupi, pihaknya sudah merangka pelbagai strategi termasuk memberi bantuan lembu kepada penternak untuk dipelihara. Usaha ini, katanya, dijangka dapat meningkatkan bekalan daging lembu negara dalam jangka masa enam tahun akan datang. Anggota Parlimen Bera itu berkata buat masa ini kerajaan terpaksa mengimport bekalan daging dari beberapa negara antaranya Thailand, Kemboja dan Australia. Terbaru, pihaknya akan mengadakan perjajian pembelian lembu dari Myanmar bagi memenuhi keperluan daging masa akan datang. "Satu memorandum perjanjian pembelian lembu dengan Myanmar akan diadakan pada 22 Nov ini semasa Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2014. "Perjanjian itu juga termasuk membekalkan bidang kepakaran dan teknikal kita dalam bidang ternakan kepada negara terbabit," katanya.