KUALA LUMPUR: Malaysia akan berkongsi maklumat perisikan dengan Pasukan Kor Marin Amerika Syarikat (AS) untuk membendung ancaman kumpulan militan digelar IS di rantau ini. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia dan negara anggota Asean tidak boleh memandang ringan ancaman seperti itu. "Pengalaman Amerika Syarikat memerangi IS di Timur Tengah adalah penting bagi kami untuk berkongsi maklumat dan risikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Komander Pasukan Kor Marin AS di Pasifik, Lt Jen John A. Toolan di Kementerian Pertahanan di sini, Isnin. Toolan berkata Kor Marin Amerika Syarikat akan mengukuhkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia seperti mengadakan latihan bersama bagi tujuan menghantar bantuan tentera jika berlaku bencana. "Kami berharap untuk bekerjasama secara perkongsian pintar dalam bantuan bencana atau krisis yang mungkin berlaku dan kami ingin untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain untuk beroperasi bersama, agar kita boleh mendepani apa-apa cabaran yangmungkin timbul," katanya. Hishammuddin, yang akan berlepas ke Myanmar pada Selasa untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM,) berkata beliau dan rakan sejawatannya dari Asean akan membincangkan isu-isu keselamatan yang mungkin boleh menggugat kestabilan di rantau ini. "Kami akan berbincang dan mencari mekanisme yang diperlukan untuk memerangi ancaman militan melalui perkongsian perisikan, latihan dan menggunakan teknologi dan aset sedia ada, " kata beliau. Mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, Hishammuddin berkata masyarakat umum perlu menunggu sehingga badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu selesai menjalankan siasatannya. Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan mengenai penyiaran gambar-gambar, yang dikatakan dicerap oleh satelit menunjukkan sebuah pesawat pejuang melepaskan tembakan peluru berpandu ke arah sebuah pesawat penumpang di timur Ukraine, iaitu lokasi MH17 ditembak jatuh paada 17 Julai lepas, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru pesawat itu.