suria

Jabatan Imigresen Buru Ejen, Pelindung Pati

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memburu pihak yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke dalam negara dan mereka yang menjadi ejen atau melindungi golongan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihak yang terbabit menggaji atau melindungi Pati secara haram harus tampil menyerah diri sebelum program pengampunan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

"Apa yang perlu majikan lakukan supaya menyerahkan Pati itu kepada imigresen secara sukarela...hukuman mereka (Pati) akan diringankan samada diberi kompaun atau dihantar balik ke negara asal," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Jabatan Imigresen di Sentul Raya, di sini.

Dalam satu operasi selama dua jam bermula pukul 9 malam Isnin melibatkan 104 pegawai dan anggota dari Ibupejabat Jabatan Imigresen dan Cawangan Kuala Lumpur, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), 178 warga asing diperiksa.

Daripada jumlah itu, 49 ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan, manakala empat lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi masa.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (16), Indonesia (35), Myanmmar dan India masing-masing satu," katanya.


Pati, Jabatan Imigresen, Rela, ejen

Artikel Lain