suria

Pembuli Jalan Raya Di Subang Ditahan Kurang 24 Jam Selepas Kejadian

- Gambar dari Facebook 'Friends of BN'

PETALING JAYA: Pembuli jalan raya yang didakwa mengganggu dan merosakkan kereta seorang wanita di Jalan Subang Jaya USJ - Shah Alam dilaporkan telah ditahan polis, kurang 24 jam selepas kejadian itu.

Facebook 'Friends of BN' telah berkongsi imej pembuli yang melakukan perbuatan tersebut dan memuji polis yang bertindak pantas.

"Lelaki yang telah membuli dan merosakkan kereta seorang wanita semalam (Isnin) telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tahniah PDRM kerana tindakan yang cepat," menurut posting di Facebook itu, Selasa.

'Posting' tersebut mendorong pengguna Facebook memuji PDRM kerana mengikuti perkembangan isu yang dikongsi di media sosial.

Identiti pembuli jalan raya itu tidak jelas kecuali fakta bahawa dia menetap  di Subang Jaya dan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).

Gambar kejadian itu pertama kali dimuat naik pada pagi Isnin oleh mangsa, Alisia Thean, di laman Facebooknya.

"Bertemu dengan pembuli jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini. Dia mengetuk tingkap saya, bertanya kepada saya apa yang saya mahu, meludah di cermin, merosakkan 'wiper' dan melipat cermin sisi kereta saya," tulisnya.

Thean berkata, dia sedang memandu ke tempat kerja dan telah membunyikan hon kepada pemandu SUV itu kerana sering menukar lorong, apabila dia tiba-tiba memberhentikan kereta di tepi jalan dan berjalan menuju ke keretanya.

Sebanyak 15 gambar yang kemudiannya dimuat naik menunjukkan seorang lelaki pertengahan umur keluar dari kenderaannya dan berjalan menuju ke kereta wanita itu sebelum merosakkan pengelap cermin dan meludah di bahagian cermin hadapan kereta.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis selepas komen-komen mendesak supaya dia berbuat demikian.

Lelaki itu telah ditahan polis di kediamannya sekitar tengah malam pada hari yang sama.

buli jalan raya, Alisia Thean

Artikel Berikut

Artikel Lain