suria

Enam Kilang Roti Di P.Pinang Diarah Tutup

Ku Nafishah Ku Ariffin
GEORGE TOWN: Enam kilang roti di Pulau Pinang diarah tutup selama 14 hari mulai Isnin apabila pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mendapati premis-premis berkenaan kotor dan tidak mematuhi tahap kebersihan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata premis yang diarah tutup itu masing-masing dua di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan serta masing-masing satu di Timur Laut dan Seberang Perai Tengah.

"Dua daripada enam kilang itu adalah pengeluar roti jenama popular di negeri ini dan semua premis terbabit (enam) pernah diberikan amaran kerana mengabaikan aspek kebersihan sebelum ini.

"Pemilik premis yang terlibat diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sebelum diperiksa sekali lagi," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati kilang-kilang berkenaan membiarkan bahan untuk membuat roti terutama tepung dan gula terbuka sehingga dihinggap lalat, terdapat najis tikus di dalam stor dan adunan roti yang diuli dibiarkan atas lantai tanpa pelapik.

"Ada juga kilang roti yang menggunakan peti sejuk berkulat dan kotor serta pekerja gagal mematuhi etika berpakaian iaitu tidak memakai penutup kepala dan mulut serta sarung tangan," katanya.

Ku Nafishah berkata dalam operasi bersepadu bermula 9 pagi semalam yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), 13 notis saman berjumlah RM32,500 dikeluarkan mengikut Sekyen 32B Akta Makanan 2009 kerana pelbagai kesalahan melibatkan amalan kebersihan.

Beliau berkata PBT turut mengeluarkan lapan kompaun berjumlah RM1,570 kerana kesalahan tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur dan pengurusan sisa tidak sempurna.

Beliau berkata pihaknya memandang serius aspek kebersihan terutama kehadiran makhluk perosak seperti tikus, penggunaan peralatan memproses makanan tidak bersih, bahan makanan diletakkan atas lantai serta pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan tifoid.

"Orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini," katanya.

Artikel Lain