Bagi tuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky Fried Chicken (KFC), Jalan Limbong Kapal di sini pada 10.45 pagi, 10 November lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Heris juga dituduh memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama di bilik bernombor 101, Hotel Royale Jalan Putra di sini pada 2.45 petang, 13 November lepas.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Firdaus Sekman.