suria

Ibu Bapa Mahu SJKC Bertam Valley Dipindah

CAMERON HIGHLANDS: Ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley di sini yang terjejas akibat banjir pada 6 November lalu memutuskan supaya bangunan sekolah itu dipindahkan ke lokasi baharu.

Seramai 186 ibu bapa membuat undian mereka berhubung keputusan itu pada malam Rabu, dengan 124 mengundi supaya sekolah itu dipindahkan manakala 64 undi membuat bantahan.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Ng Han Seng, 42, berkata undian itu dibuat berikutan cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memindahkannya.

"Kita membuat undi supaya kita dapat kelulusan ibu bapa. Ini bermakna kita terima cadangan TNB dengan syarat lokasi baharu untuk sekolah itu bersesuaian," katanya.

Seorang ibu, Tan Bee Huang, 36, berkata, langkah itu adalah baik kerana ia bertujuan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk anak-anaknya.

Seorang lagi ibu, Yeong Swan Yen, 44, yang gembira dengan keputusan itu berpendapat bahawa pendidikan dan keselamatan untuk anak-anaknya adalah penting.

SJKC Bertam Valley merupakan salah satu daripada beberapa bangunan di sini yang terjejas akibat banjir lumpur pada 6 November lalu apabila air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air dari Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar.

Menurut PIBG SKJC Bertam Valley, sekolah itu berusia 67 tahun manakala bangunannya pada masa ini berusia lima tahun.

Sekolah itu mempunyai 246 murid.


SJKC Bertam Valley

Artikel Lain