suria

Tiga Terselamat, Bas Terjunam Ke Dalam Sungai

Keadaan bas yang terjunam ke dalam Sungai Muda ketika dalam perjalanan ke Sungai Petani, Rabu.

BALING:Dua penumpang dan seorang pemandu bas berdepan detik mencemaskan setelah bas yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Muda ketika dalam perjalanan dari Baling ke Sungai Petani, dekat sini, Rabu.

Dalam kejadian pada kira-kira 4.20 petang itu, bas berkenaan terjunam sedalam hampir 15 meter dari Jambatan Syed Omar ke dalam sungai yang terletak berdekatan Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil dekat sini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Sungai Petani Rohayu Shaffie berkata 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

Operasi menyelamatkan mangsa turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam, Polis dan Rela, katanya di sini.

Pemandu bas berkenaan Azman Hamid, 50, dan penumpang terbabit, seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Abd Halim, Sungai Petani untuk rawatan.

Jambatan berkenaan masih ditutup kepada lalu lintas berikutan kerja-kerja menarik naik bas berkenaan sedang dijalankan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain