GUA MUSANG: Seorang lelaki dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah ladang sawit di Sungai Terah di sini, menerima padah apabila maut dipercayai ditembak pemilik lembu berkenaan awal pagi Rabu. Suspek berusia 33 tahun berasal dari sebuah rancangan kemajuan tanah di sini, djumpai meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tembakan di badan. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku pukul 6.05 pagi itu, pemilik lembu terbabit berusia 48 tahun, yang juga anggota Rela, mengejar dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero dalam ladang sawit berkenaan. "Pemandu Pajero terbabit membuat pusingan 'U' sebelum terbabas di kawasan selekoh menyebabkan pemandu Pajero itu melarikan diri ke kawasan ladang tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Rabu malam. Beliau berkata suspek yang duduk di sebelah pemandu Pajero terbabit, turun dari kenderaan sambil melibas parang ke arah pemilik lembu berkenaan menyebabkan pemilik lembu itu melepaskan tembakan. "Pemeriksaan lanjut menemui seekor lembu yang sudah mati disyaki dicuri dan disumbat di dalam Pajero itu," katanya. Beliau berkata, sebelum kejadian itu, pemilik lembu berkenaan membuat rondaan dalam kawasan ladang sawit itu dengan beberapa penduduk kerana tidak tahan dengan kegiatan mencuri lembu yang semakin menjadi-jadi. Saiful Bahri berkata, siasatan polis mendapati suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan dalam buruan polis kerana menjalankan kegiatan mencuri lembu di beberapa kawasan di daerah ini. Katanya, pemilik lembu itu yang mempunyai lesen memiliki senapang Rela ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.