KUALA LUMPUR: Kaedah pengapungan terkawal dijangka diguna pakai bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel setiap bulan selagi harga minyak dunia berada pada paras US$80 setong ke bawah. Penurunan harga minyak dunia sekarang ini sudah sampai tahap bawah garisan subsidi RM2.30 seliter RON95, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan kepada Bernama. Sehingga Jumaat, harga kontrak hadapan minyak West Texas berada pada paras US$76.28 setong bagi penghantaran Januari tahun depan manakala minyak mentah Brent North pada US$79.64 setong bagi penghantaran sama. Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan mulai 1 Dis ini, penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal. Harga purata RON95 dari 1 Nov hingga 19 Nov berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM), turun kepada RM2.27 seliter yang mana ia lebih rendah berbanding harga runcit RM2.30 seliter ketika ini. Ditanya sama ada kaedah pengapungan terkawal ini akan dihentikan sekiranya harga minyak dunia meningkat semula, Ahmad berkata kaedah ini akan berlangsung buat seketika. Namun sekiranya harga minyak dunia meningkat melepasi US$80 setong, Ahmad berpendapat rasionalisasi subsidi perlu dilakukan. Ahmad berkata rasionalisasi subsidi itu tidak bermaksud berbalik semula kepada kaedah pemberian subsidi bahan api menyeluruh sedia ada tetapi ia lebih bersasar. "Ia kemungkinan termasuk memperkenalkan kaedah pemberian subsidi berdasarkan jumlah pendapatan," katanya lagi. Mengulas lanjut, Ahmad berkata kaedah pengapungan terkawal bagi RON95 ini memberi kebaikan kepada kerajaan kerana ia tidak lagi menanggung subsidi. "Peruntukan subsidi itu boleh diserah semula kepada rakyat," katanya. Menurutnya, pada tahun lepas kerajaan telah menanggung subsidi purata 74 sen seliter setahun bagi RON95 dan diesel 76 sen seliter setahun, bagi kira-kira 23 juta kenderaan. "Jumlah subsidi bahan api pada tahun lepas adalah RM23.5 bilion atau kira-kira RM2 bilion sebulan. Pada tahun ini subsidi bahan api berkurangan sekitar RM19 bilion. "Ia berkurang dalam dua bulan terakhir tahun ini berikutan harga minyak mentah dunia yang menurun. Harga minyak mentah dunia berada pada US$100 hingga US$120 setong sejak sekian lama," katanya. Beliau juga berharap peniaga, pemborong dan pengilang bertanggungjawab untuk menurunkan harga barang seiring penurunan harga bahan api. "Kerajaan tidak harus terus dipersalahkan kerana mengakibatkan kenaikan harga barang sedangkan pihak yang harus dipertanggungjawabkan adalah peniaga, pemborong dan pengilang ini," katanya.