suria

PAU 2014: Anak Muda Mahu Proses Remajakan Umno Realistik

Kumpulan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) ketika bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Seri Perdana di sini baru-baru ini untuk menyertai majlis Dialog dan Ramah Mesra Bakti.

PETALING JAYA: Golongan muda di negara ini mahu proses meremajakan Umno dilaksanakan secara realistik, bukannya lebih menjurus kepada retorik semata-mata.

Dengan cara itu, parti di semua peringkat bukan sahaja dapat mendengar suara anak muda, bahkan juga memperkukuhkan penglibatan golongan itu dalam segenap aspek.

Pandangan tersebut disuarakan oleh sebahagian mahasiswa, selaras hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat transformasi meremajakan Umno menjadi realiti.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Izwan Fareed Tengku Ismail, 22, berharap lebih ramai mahasiswa diberi ruang dan peluang dalam pelbagai aspek.

“Kami berharap untuk terlibat secara langsung dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan dan polisi yang diamalkan Umno.

“Pemimpin-pemimpin Umno juga diharap tidak mengabaikan mahasiswa yang berbakat kerana mahasiswa adalah nadi dan peneraju kepada kepimpinan negara,” katanya kepada mStar Online.

Tengku Izwan merupakan seorang daripada empat mahasiswa yang dipilih untuk menjadi pembahas pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 25 hingga 29 November ini.

Pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas), beliau membahaskan mengenai ‘Ancaman Terhadap Agama Islam di Malaysia’ dan membentangkan usul-usul meliputi aspek pendidikan, poltik, perundangan dan sosial.

Bagi Muhamad Nur Aizat Noor Azam, 22, pula beliau membahaskan mengenai ‘Sumbangan dan Peranan Mahasiswa dalam Pembentukan Dasar Kerajaan'.

Beliau berpendapat, pemilihannya sebagai salah seorang pembahas dapat memfokuskan mengenai bagaimana Umno di semua peringkat perlu berfungsi dengan tepat dan terancang untuk memperkukuhkan penglibatan mahasiswa.

“Proses meremajakan Umno yang dilaungkan itu hanya berlaku dalam skop sayap Pemuda dan Puteri sahaja. Pandangan saya nanti adalah mengenai keremajaan parti yang perlu berlaku secara realistik,” katanya yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Merbok Kedah dan Exco Pemuda Umno Negeri Kedah.

Penuntut jurusan Politik dan Hubungan Antarabangsa di Royal Holloway, University of London, Tijan Dina Ahmad Amer, 21, pula menyifatkan Umno komited menyediakan platform kepada golongan muda untuk berkongsi idea dan pendapat.

Setiausaha Kelab Umno London yang membahaskan tentang ‘Peranan Media Sosial dalam Senario Politik Malaysia’ ini menjelaskan bahawa anak-anak muda kini mendapatkan lebih banyak maklumat daripada media sosial berbanding sumber-sumber lain.

Sehubungan itu, katanya, platform tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya oleh Umno supaya tidak ‘hilang’ sokongan belia yang mudah dipengaruhi pembangkang.

“Saya berharap nanti untuk memfokuskan tentang memperkasakan peranan anak muda dan isu-isu mengenai pendirian Malaysia dalam arena politik dunia.

“Insiden MH370 dan MH17 membuatkan anak-anak muda kini lebih didedahkan tentang kebolehan dan kemampuan Umno untuk mempertahankan maruah dan menjaga nama baik negara,” katanya yang juga cucu kepada bekas Ahli Parlimen Dungun, Allahyarham Datuk Awang Jabar.

Sementara itu, penuntut Diploma Sains di UiTM, Nuramalina Mat Yusoff, 22, pula berharap Umno dapat mendengar suara mahasiswa secara jelas dan disusuli tindakan.

Beliau yang membahaskan tentang ‘Memperkasakan Keusahawanan Dalam Kalangan Mahasiwa’ pada Pemanas berkata, sama ada idea anak muda itu baik atau buruk, ia seharusnya diambil secara positif untuk dipertimbangkan.

“Sama ada idea kami itu baik atau buruk, itu belakang cerita. Yang penting, mereka seharusnya dengar dahulu pandangan kami.

“Selepas itu baharulah pertimbangkan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak. Apa yang penting suara orang muda ini didengari,” katanya.

Mengenai apa yang dibahaskannya pada Pemanas, ramai graduan yang menganggur pada hari ini maka perlu ada usaha untuk memperkasakan golongan itu dari segi keusahawanan.

“Sama ada ia adalah cadangan baharu atau yang sudah ada tetapi boleh ditambah baik,” katanya yang mendapat sokongan keluarga terutama ibunya, Zainon Omar yang pernah memegang jawatan Setiausaha Umno Bukit Damar pada tahun 80-an. 



Artikel Lain