VENICE (Italy): Terdapat keperluan mendesak untuk membina rumah mampu milik bagi menyelesaikan masalah perumahan di Malaysia dengan bertambahnya bilangan penduduk di negara ini, kata Dekan Seni Bina dan Reka Bentuk, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia Dr Richard Blythe. "Ia bukan mengenai meletakkan batu bata untuk membuat sebuah bilik di sebuah rumah semata-mata. Terdapat pelbagai undang-undang, kewangan, perkhidmatan dan sistem sosial yang bersama-sama dengan masyarakat kita, " katanya. Pandangan Blythe ini telah disuarakan oleh Profesor Senibina RMIT, Prof Dr Tom Kovac yang menambah bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk mencari penyelesaian secara praktikal. "Masalah perumahan tidak terhad kepada Malaysia. Ia adalah masalah global. Kita perlu mencari jalan supaya kita boleh menghasilkan perumahan yang juga mampu diakses untuk penduduk dunia," kata Kovac. Dr Kovac dan Dr Blythe berkata, ia akan disuarakan dalam Malaysian Biennial 100YC, yang dijadualkan pada Ogos tahun depan. Disokong oleh RMIT dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Malaysian Biennial 100YC adalah inisiatif penyelidikan global bagi mereka membentuk satu visi untuk pembangunan Malaysia dalam tempoh 100 tahun akan datang, kata Pengarah program, Mohammad Lutfi Johari.