KUALA LUMPUR: Agenda Bumiputera dan merapatkan jurang ketidaksamaan perlu dijadikan sebagai agenda nasional, bukannya kaum, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, satu model ekonomi diperlukan untuk memastikan pertumbuhan dan pengagihan adalah saksama. Menurut beliau, ketidaksamaan dalam masyarakat hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas kerana wujudnya jurang besar antara golongan kaya dan miskin, etnik dan intra etnik, Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bandar dan luar bandar serta pekerja atasan dan bandar. "Saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas perlu dilaksanakan segera. "Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah dari kerangka besar ekonomi negara. "Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Selasa. Muhyiddin berkata, walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak tercapai, namun ia berjaya mengagihkan kekayaan negara secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan sebaliknya. Bagaimanapun katanya, dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. "Misalnya, pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina iaitu RM4,643 dan kaum India RM3,676," katanya. Muhyiddin berkata, Majlis Ekonomi Bumiputera mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan, merencana hala tuju masa depan, memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. "Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. "Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan," katanya.