suria

PAU 2014: Perwakilan Diingat Tidak Terlalu Emosi, Bimbang Disalah Tafsir

Hishammuddin (kanan) berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai usul yang akan dibahaskan pada PAU 2014 pada sesi taklimat khas pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh mengenai sensitiviti agama oleh perwakilan Umno dikuatiri akan dianggap sebagai pendirian rasmi parti.

Justeru Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perwakilan Umno diingatkan lebih berhati-hati ketika menyertai perbahasan walaupun parti itu tidak menyekat kebebasan ahlinya untuk berucap.

"Harus diingat sebarang kenyataan yang menyentuh mengenai perkauman dan agama...kalau terlalu emosi ia akan disalah tafsir sebagai pendirian Umno," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat khas bersama jurucakap majlis tertinggi dan sayap-sayap Umno pada Selasa.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno (PAU) menegaskan bahawa parti itu bersikap realistik dengan perkembangan media sosial.

"Tak ada...tak ada sekatan. Orang ramai akan memandang Umno. Kita tak boleh sekat.

"Tambahan pula dengan perkembangan media sosial, memang kita tak boleh sekat sebarang teguran," katanya.

Perhimpunan tahunan kali ini akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 25 hingga 29 November ini.

Ibu Pejabat Umno menerima 755 usul daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang merangkumi 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.

Daripada jumlah itu, 121 usul menyentuh soal pendidikan, diikuti 87 politik, 81 pindaan perlembagaan parti, 74 agama, 67 ekonomi, 170 isu sosial, dan 38 mengenai hal-hal lain.


Umno, PAU, usul, emosi, Hishammuddin Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain