PETALING JAYA: Pergerakan Puteri Umno tidak akan 'melompat' terhadap kritikan dan persepsi yang dilemparkan kepada sayap bongsu parti itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014. Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setiap ahli Puteri dididik supaya sentiasa menganggap kritikan dan dakwaan negatif terhadap mereka sebagai cabaran yang perlu dihadapi. "Saya anggap ia sebagai cabaran getir. Kita tak adalah nak 'melompat' atau marah...orang berhak cakap (Puteri) apa sahaja. "Waktu dulu Umno kuat. Hari ini parti berdepan pelbagai cabaran dan rintangan yang bukan hanya dirasai oleh Puteri tetapi semuanya bersama dalam Umno sebenarnya," katanya kepada mStar Online, Isnin. Mas Ermieyati berkata, tanpa mahu memandang ke belakang mengenang zaman kegemilangan Umno, Puteri kini mempunyai cara tersendiri dalam memperjuangkan parti. "Bukan mudah untuk bergerak ke hadapan tapi kita tak boleh toleh belakang. Cerita lama, cerita lamalah...kita jadikan panduan," katanya. Ahli Parlimen Masjid Tanah ini berkata, walaupun tidak selantang Pemuda atau Wanita, Puteri serius untuk menggunakan pentas PAU 2014 sebaiknya bagi menjelaskan keadaan sebenar parti selain mengetengahkan isu-isu berkaitan wanita muda. "Saya tengok kita kena jelaskan kepada mereka (perwakilan) macam mana keadaan parti kita yang dilihat 'tidak sekuat dahulu'," katanya. Mengemudi Puteri untuk tahun kedua, graduan jurusan undang-undang itu berkata, pergerakan itu lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak terlalu lantang, baik dalam memberi pandangan, mahu pun membuat permintaan kepada parti. Untuk perhimpunan kali ini, tambahnya lagi, Puteri tidak akan membuat sebarang permintaan khusus atau secara terbuka kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Masing-masing ada cara tersendiri tapi Puteri bukan out-spoken. Biarlah kita dengan cara kita. "Kita tak boleh nak jadi pendesak macam Pemuda...Pemuda sangat lantang bersuara," katanya. Bagaimanapun katanya, sayap itu telah melakukan persediaan lebih awal dalam usaha mengikis persepsi orang ramai kononnya pembahas Puteri tidak membuat 'homework' dan berterusan menjadi bahan kritik. Beliau berkata, seramai 15 pembahas telah dipilih untuk membahaskan ucapan dasar beliau termasuk seorang pembahas dari golongan kelainan upaya dan wakil mahasiswi. "Pembahas kita telah menghadiri bengkel kemahiran dan latihan untuk PAU 2014 dan dengan itu, dari segi perbahasan saya mengharapkan ia lebih panas kali ini. Kita sudah bagi lebih banyak ruang dan persediaan awal," katanya. Katanya, PAU 2014 melibatkan seramai 991 perwakilan Puteri dan kira-kira 500 pemerhati luar.