suria

Jangan Hanya Dengar Cakap 'Orang Sekeliling' - Tun M

Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Umno diingatkan supaya tidak hanya mendengar pandangan 'orang sekeliling' kerana ia akan merugikan parti, sebaliknya memberi perhatian kepada suara akar umbi untuk memastikan parti kekal relevan.

Teguran itu disampaikan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berharap suara ahli di peringkat akar umbi akan didengar dan diberi perhatian.

"Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke perhimpunan Umno akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang.

"Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu dengar orang tertentu yang di sekeliling kita sahaja. Yang mengelilingi orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka," katanya menerusi blog chedet.cc pada Selasa.

Menurut bekas perdana menteri itu lagi, budaya berani menegur dan menerima teguran perlu dihidupkan semula dalam Umno.

"Ingin saya tekan akan pentingnya menegur pemimpin. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn bukan sahaja ditegur bahkan dicabar. Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan.

"Tanpa teguran, pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan itu salah dan tidak baik," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ahli dan pemimpin Umno perlu dipersalahkan sekiranya gagal mempertahankan parti itu.

"Semua tahu Umno sekarang tidak popular seperti Umno dahulu. Ada yang berkata Umno tidak lagi relevan.

"Sedikit sebanyak pandangan ini berasas. Jika Umno dikalahkan dan hilang dari muka bumi, kepimpinan dan ahli Umno tidak boleh nafi sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang begitu berjasa kepada Melayu dan Malaysia," katanya.



Artikel Lain