KUALA LUMPUR: Umno perlu bebas daripada budaya 'warlord' yang selama ini dikaitkan dengan pemimpin tertentu dalam parti itu yang ingin terus kekal berkuasa. Selain bimbang dengan persepsi itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyelar sikap sesetengah pemimpin yang suka menabur kemewahan kepada pengikut kerana ia akan merosakkan imej parti. "Kita perlu buktikan bahawa 'warlord' bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam Umno. "Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Selasa malam. Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau bimbang sekiranya budaya 'warlord' tidak ditangani segera, Umno akan dikelilingi oleh orang yang mempunyai wang tanpa kebolehan untuk memimpin. Tegasnya, budaya 'ugut dan tabur' merupakan punca kepada amalan politik wang dalam Umno. "Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? "Bagi saya budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka," katanya. Selain itu Muhyiddin berkata, sikap suka menunjuk-nunjuk kemewahan oleh sesetengah pemimpin itu hanya akan menyebabkan berlakunya masalah 'trust deficit' atau defisit kepercayaan terhadap Umno. "Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah 'trust deficit' atau defisit kepercayaan terhadap Umno. "Jadi ingatlah...apa guna kita naik dalam hierarki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita," katanya. Muhyiddin juga mengingatkan perwakilan sayap Umno supaya berusaha untuk mengikis persepsi bahawa parti itu dilanda budaya kelesuan serta gagal menjuarai nasib dan kepentingan orang Melayu. Katanya, Umno seharusnya lebih terbuka khususnya untuk mendengar pandangan golongan muda demi kelansungan politik Umno. Tegas beliau, budaya sekat, cantas, sabo, cah keting atau terajang dalam Umno perlu dihentikan segera. Timbalan Presiden Umno, Tan Sri MuhyiddinYassin bersama Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua, kiri), Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (dua, kanan) dan Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyanti Samsudin. "Orang muda dalam Umno mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Akibatnya, dalam Umno, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. "Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan," katanya. Selain itu Muhyiddin memberitahu, kegagalan Umno mendepani pelbagai isu yang dekat dengan kepentingan orang Melayu hanya akan menjauhkan sokongan rakyat terhadap parti itu. "Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa Umno bukannya sebuah parti yang lesu. Umno bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. "Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin Umno akan menjadi parti pilihan orang muda," katanya.