suria

PAU 2014: Jentera Wanita Umno Atur Langkah Hadapi PRU-14

SEBAGAI jentera utama pada setiap pilihan raya, Pergerakan Wanita Umno dilihat sentiasa ke hadapan dari segi gerak kerjanya.

Buktinya, tulang belakang Umno itu sudah mula melakukan analisis dari masa ke masa mengenai tahap sokongan pengundi kepada partii itu.

Exco Wanita Umno, DATUK NORAINI AHMAD mendedahkan bahawa pergerakan itu sudah mengemas kini data pilihan raya mereka sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Dalam pertemuaan dengan mStar Online, Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut berkongsi pandangannya mengenai sasaran Wanita Umno untuk terus diiktiraf di peringkat lebih tinggi.

S1: Benarkah jentera Wanita Umno lesu dan tidak bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang?

J: Jentera Wanita Umno sudah mulakan gerak kerja sejak awal tahun lagi. Pada tahap ini kita sedang lakukan proses pemutihan senarai pengundi.

Kita sedang buat semakan berkala supaya tidak ada pengundi yang tertinggal atau diabaikan. Melaluinya jentera kita di peringkat akar umbi akan sentiasa dekatkan diri dengan pengundi.

Ini adalah usaha berterusan yang diarahkan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya kita tak tunggu di saat-saat akhir untuk bekerja.

Kita juga sudah mula menganalisa data-data penting terutamanya untuk mengembalikan kemenangan di kawasan yang Umno kalah pada pilihan raya lalu.

S2: Apa maksud istilah 'Wanita Srikandi Negara' dalam Umno?

J: Srikandi ini dianggap sebagai benteng kepada Umno. Malah kalau kita tengok dalam setiap pilihan raya, jentera Wanita Umno digerakkan dengan begitu berkesan untuk mendekati pengundi.

Gerak kerja kita dari rumah ke rumah ternyata berjaya meraih sokongan pengundi yang ramai terutamanya di kalangan kaum ibu. Jadi istilah Wanita Srikandi Negara ini sebenarnya adalah satu pengiktirafan yang perlu dilihat sebagai tanggungjawab yang cukup besar kepada Wanita Umno.

Dengan kepercayaan yang diberikan ini, kami akan sentiasa bersama-sama kepimpinan parti untuk bekerja keras bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kemenangan pada PRU akan datang.

S3: Tidak cukup dengan istilah srikandi, apa pula janji Wanita Umno selepas diiktiraf sebagai tulang belakang Umno pada perhimpunan tahun lalu?

J: Mudah sahaja. Kami janji untuk terus bekerja keras bagi mempertahankan kemenangan Umno. Pengiktirafan ini bukan perkara main-main, sebaliknya ia adalah amanah yang cukup berat kepada Wanita Umno.

Pengiktirafan ini memberi semangat yang lebih kepada Wanita Umno yang selama ini banyak bekerja keras untuk parti melalui pelbagai program termasuk golongan ibu tunggal.

S4: Apa pula keperluan untuk diberikan satu kerusi khas jawatan Naib Presiden Umno kepada wanita?

J: Kita perlu melihat rekod kepimpinan wanita sejak sekian lama. Wanita Umno terbukti mampu melakukan apa yang diamanahkan kepada mereka.

Jadi kita merasakan perlu untuk melakukan satu lagi penambahan kerusi yang dikuotakan kepada wanita. Bagi kami ia akan menambahkan lagi kekuatan Umno. Ia juga sebagai usaha untuk merealisasikan sasaran supaya 30 peratus wanita berada pada kedudukan pembuat keputusan. Ini adalah permulaannya.

Kita juga yakin bahawa jawatan ini tidak akan memecah belahkan parti, kononnya akan ada dua 'kepala' di peringkat atasan.

Jangan fikir perkara yang negatif sahaja. Lihat dari sudut positif bahawa buah fikiran pemimpin wanita akan terus disumbangkan sehingga ke peringkat yang cukup tinggi.

Bekas ketua wanita sebelum ini juga kita lihat masih mempunyai kekuatan tersendiri untuk memberi sumbangan kepada parti berdasarkan pengalaman mereka  dalam Pergerakan Wanita.

S5: Apa sasaran Wanita Umno untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar?

J: Kita akan galakkan wanita untuk terus bergiat aktif dalam sektor ekonomi. Kita akan bersama-sama dengan agensi kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai bantuan, inisiatif atau khidmat nasihat kepada wanita untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Kita tahu lebih 80 peratus peniaga wanita menceburi bidang perniagaan mikro. Jadi kita cuba beri bantuan kepada golongan untuk melebarkan perniagaan mereka ke satu tahap yang lebih tinggi. Kita juga galakkan wanita untuk menceburi pernigaan online secara kecil-kecilan. Ini sebenarnya laluan awal untuk wanita meningkatkan ekonomi mereka.

Bagi yang belum tahu selok-belok perniagaan, Wanita Umno sedia memberi memberi tunjuk ajar kerana kita ada saluran-saluran tertentu untuk bantu wanita terutama bagi mendapatkan pinjaman.


Artikel Lain