KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno akan menggerakkan kempen sejuta tandatangan bagi mendesak kerajaan supaya tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 untuk menjamin keselamatan, keamanan dan perpaduan negara ini. Ketua Wanitanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sejuta tandatangan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat sebagai bukti Wanita Umno memandang serius isu tersebut. “Kami tidak bersetuju sama sekali Akta Hasutan dihapuskan. Ia perlu dikekalkan demi menjamin keselamatan, keamanan dan perpaduan di dalam negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Selain perlu dikekalkan, Shahrizat berkata, mana-mana peruntukan dalam akta tersebut yang tidak lagi relevan boleh dipinda atau dimansuhkan dengan segera. "Sebagai contoh, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan sedia ada, boleh di mansuhkan untuk menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bebas bersuara,” katanya. Beliau berkata, setiap pandangan yang membina dan bertujuan menambahbaik pentadbiran dan sistem sedia ada tidak wajar disekat. Malah katanya, beberapa penambahbaikan yang bersesuaian perlu dilakukan dengan mengambil kira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sementara itu, Shahrizat berkata, penggubalan Akta Keharmonian Nasional juga wajar diteruskan untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni dan saling hormat menghormati di antara semua kaum di Malaysia. "Akta Keharmonian Nasional boleh digubalkan untuk menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional,” katanya. Jelas beliau, akta tersebut tidak sewajarnya bersifat menghukum tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat menghormati di antara kaum yang berbeza agama dan kebudayaan. Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno turut mahu kuasa Akta Hasutan dikekalkan sekiranya dipinda atau ditambah baik supaya ia menjadi perisai kepada perpaduan negara. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tidak kira apa akta, undang-undang dan kekangan, perkara-perkara yang sensitif tidak seharusnya dibangkitkan sehingga mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat. Menurut beliau, setiap kebebasan perlu ada batasnya agar perpaduan semua dapat dikukuhkan. "Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat berlindung, bukan hanya untuk orang Melayu tapi untuk semua rakyat Malaysia. "Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelakuan yang menghasut," katanya. Beliau berkata demikian pada ucapan dasar sempena Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Khairy berkata, Pemuda Umno mendesak supaya mereka yang melangkaui batas dengan menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu segera didakwa. "Jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka dikenakan tindakan," katanya.