Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana timbul persoalan sama ada Akta Keharmonian itu diperlukan kerana Akta Hasutan yang dikekalkan mempunyai tujuan yang sama iaitu bagi mengekalkan aspek keharmonian rakyat.
"Cuma persoalannya sama ada ia memerlukan akta baharu seperti Akta Keharmonian dan sebagainya itu harus dikaji oleh pihak kerajaan," katanya dalam sidang media selepas ucapan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini, Khamis.
Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dikemukakan buat kali pertama oleh Perdana Menteri pada Julai 2012. Ia berhasrat menggantikannya dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Tujuan akta baharu itu adalah bagi mencari mekanisme untuk menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di Malaysia.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat berbagai pandangan daripada pelbagai pihak khususnya yang mahu Akta Hasutan itu dikekalkan.
Dalam ucapan dasar presiden pagi tadi, Najib mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 itu dikekalkan dan diperkukuhkan bagi melindungi ketenteraman negara.
Katanya, akta itu juga akan dipinda untuk memasukkan dua peruntukan penting iaitu melindungi kesucian agama Islam serta agama lain dan tindakan terhadap sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.