Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata sementara perincian laporan audit itu akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan untuk dibahaskan.
"Ada terma kontrak dan garis panduan tidak dipatuhi serta dilanggari (berhubung pembayaran pampasan) sebab terdapat pegawai yang berkhidmat untuk tempoh singkat, tetapi diberikan ganjaran berlipat kali ganda," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) pada sidang DUN di sini hari ini.
Lapan pegawai kontrak bekas menteri besar itu yang dilantik Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dilaporkan menerima bayaran pampasan kerja bernilai RM2.3 juta yang disifatkan pelbagai pihak termasuk anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata beliau tidak mempunyai halangan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor mahu menyiasat isu pembayaran pampasan tersebut.
Beliau menegaskan mesyuarat Exco tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan jumlah pampasan ataupun gratuiti pegawai MBI berkenaan dan kaedah pembayaran ditentukan lembaga pengarah MBI yang dipengerusikan Abdul Khalid selaku mantan Menteri Besar.
Katanya, pihaknya akan menyemak semula garis panduan yang diguna pakai oleh kesemua anak syarikat dan perbadanan di bawah kerajaan negeri berhubung pembayaran pampasan kepada pegawai agar ia selaras dengan garis panduan ditetapkan kementerian kewangan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu dengan peruntukan RM160 juta setahun akan tetap diteruskan meskipun kerajaan negeri berjaya mengambil alih operasi air dari kesemua empat syarikat konsesi di negeri itu menjelang September tahun depan.