KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 yang bermula Khamis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) diserikan dengan kehadiran dua bekas presidennya. Presiden Umno kelima, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Hadir sama untuk mendengar ucapan dasar presiden ialah Presiden Umno keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau turut hadir pada persidangan Pemuda Umno pada Rabu. Sebelum ini, pelbagai pihak membuat spekulasi bahawa keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan akan menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat menghadiri perasmian PAU 2014. Pada usia 89 tahun, kebelakangan ini, kesihatan bekas Perdana Menteri itu agak terganggu berikutan cuaca yang tidak begitu baik dan ketika ini dikatakan dalam proses untuk pulih daripada batuk. Minggu lalu, Dr Mahathir tidak dapat menghadiri tiga majlis yang lebih awal dipersetujuinya kerana kurang sihat. Beliau juga dikatakan membatalkan beberapa temujanji minggu ini, termasuk menghadiri persidangan di Abu Dhabi dan tiga lagi di London.