Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Supritendan Maszely Minhad berkata lelaki yang dikenali sebagai Abdul Rahim Yusof, 48, telah memperdayakan mangsa dengan mengadu bahawa kad ATMnya tersangkut di dalam mesin dalam kejadian kira-kira 9 malam itu.
Ketika di hadapan mesin ATM itu, mangsa seorang penyelia sebuah kolej di sini bertindak memasukkan kad dan nombor pinnya sebelum suspek secara tiba-tiba terus menekan amaun RM1,000 dan mengeluarkan wang tersebut, kata Maszely.
"Mangsa membiarkan suspek mengambil wang itu dan suspek berjanji akan memulangkan wang mangsa dalam masa 30 minit.
"Mangsa juga sempat mengambil nombor telefon suspek iaitu 011-18656535 dan menangkap gambar kad pengenalan suspek. Mangsa berasa tertipu dan datang ke balai untuk buat laporan polis," katanya.
Maszely berkata suspek yang beralamat terakhir di No. 299 Perkampungan Kampung Tersusun Bukit Jana, 34600, Kamunting, Perak juga pernah ditangkap melibatkan empat kes jenayah.
"Dua di Batu Gajah, Perak dan dua kes yang masih dalam siasatan di Ipoh, Perak. Polis sedang dalam usaha untuk mengesan dan tangkap suspek," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Fairuz Mohd Omar di talian 05-5461071 atau 017-4203931 dan boleh menghubungi balai polis berhampiran.