suria

Jiran Temui Warga Emas Meninggal Dunia

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas ditemui mati terbaring di kediamannya di Pangsapuri Ladang Gemilang di sini petang Isnin.

Mayat Salamah Ibrahim, 74, ditemui kira-kira pukul 4.30 petang oleh jirannya Nor Amalia Ismail, 24, selepas terhidu bau busuk yang datang dari kediaman itu sebelum segera menelefon pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata ketika tiba di rumah berkenaan di tingkat empat, pihaknya mendapati rumah tersebut terkunci dari dalam.

Katanya pihak polis terpaksa memecahkan pintu utama rumah tersebut sebelum menemui mayat wanita yang hanya berkain batik terbaring di sebuah bilik.

"Siasatan awal kita dapati tiada barang-barang berharga milik mangsa hilang dan tiada kesan pecah masuk pada rumah mangsa," katanya.

Polis mengklasifikasi kes berkenaan sebagai mati mengejut dan percaya mangsa telah meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.

Jelasnya wanita warga emas berkenaan menghuni di pangsapuri itu secara bersendirian dan seminggu sekali menantunya menziarahinya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Terengganu, Ladang, Warga Emas

Artikel Lain