suria

Kenderaan Terbabas: Juruteknik Maut, Rakan Cedera

KUALA TERENGGANU: Seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuantan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Sungai Ikan, di sini Selasa.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Nizam Zainol Abidin, 30, terkorban di tempat kejadian selepas cuba mengelak sebuah kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa bersama dua lagi rakannya yang menaiki Mitsubishi Triton sedang menghala ke arah Kota Baharu namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa nyaris bertembung dengan Perodua Viva terbabit.

Mangsa membalas stereng ke kiri untuk mengelak perlanggaran menyebabkan Mitsubishi Triton itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik serta mangsa tercampak keluar menerusi cermin hadapan.

Bagaimanapun kereta Perodua Viva yang dipandu wanita berusia 23 tahun itu hanya berpusing dan terbabas di tepi jalan dan ia tidak cedera.

Dalam pada itu, rakan mangsa Mohd Fauzi Abdul Aziz, 30, penumpang hadapan, retak pada kaki kanan manakala Azman Jamaluddin, 29, penumpang belakang, hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Mayat Mohd Nizam yang berasal dari Temerloh, Pahang turut dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat. 


Terengganu, Kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Lain