IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta jabatan yang berkenaan termasuk Jabatan Perikanan dan Jabatan Agama Islam negeri menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan ikan tilapia diberi makan bangkai babi. Beliau berkata dakwaan perbuatan itu dilakukan di sebuah kolam di Bukit Tinggi, Redang Panjang dekat Kubu Gajah perlu ditangani sewajarnya kerana ia membabitkan sensitiviti agama dan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Perak. "Ada tindakan-tindakan pihak tertentu (buang bangkai babi) dan ianya akan menimbulkan persepsi yang tidak baik. Jadi saya minta siasatan dijalankan mengenai laporan itu dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu. Sebuah akhbar pada Rabu melaporkan, gambar bangkai dipercayai babi yang diletakkan di tengah-tengah kolam ternakan itu dimuat naik dalam laman sosial Facebook oleh seorang individu. Sebaik mendapat tahu mengenainya, Jabatan Perikanan Perak dan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Perak, pentadbir daerah Selama dan polis segera menyerbu lokasi itu semalam. Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Dr Bah Piyan Tan ketika dihubungi berkata pihaknya telah pun mengambil sampel beberapa jenis ikan di kolam berkenaan untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia dan keputusannya dijangka siap dua minggu lagi. "Bagi pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak kita telah menjalankan siasatan dan pergi ke kolam tersebut bersama ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) serta Jabatan Agama Islam. Kita telah ambil tindakan itu," katanya. Beliau berkata ia bukan hanya tanggungjawab Jabatan Perikanan malah agensi yang berkenaan juga perlu mengambil tindakan sewajarnya. "Sekarang penternak dah ambil mudah dia tengok kolam dia bagi ikan makan benda itu. Agensi yang berkenaan sepatutnya mengawal ke mana bangkai itu pergi. Sampai bila Jabatan Perikanan mahu tangani perkara ini jika tiada kawalan sedemikian," katanya.