suria

Mesin Tiket Jutaan Ringgit Terbiar

Mesin tersebut dibungkus menggunakan pembalut aluminium.
BEBERAPA mesin mencecah nilai jutaan ringgit untuk menaik taraf sistem pembelian tiket di semua stesen komuter KTM Berhad di sekitar Lembah Klang didapati diletakkan dalam keadaan terbiar di premis stesen tersebut.

Pengguna komuter menyuarakan rasa marah mengenai kehadiran mesin yang tidak dipasang itu yang dapat dilihat di kebanyakan stesen.

Mereka mendakwa mesin itu dibiarkan begitu sahaja untuk tempoh lebih tiga tahun.

Selain mencacatkan pemandangan, wujud kebimbangan bahawa mesin tersebut tidak akan berfungsi lagi kerana tidak dijaga.


Mesin tersebut turut mungkin menjadi mangsa kepada kegiatan vandalisme jika terus dibiarkan begitu.

Tinjauan StarMetro di pelbagai stesen komuter mendapat beberapa mesin disimpan di dalam kotak kayu di premis berkenaan.

Di stesen Teluk Pulai, beberapa kotak kayu dibiarkan terdedah dengan sinaran matahari dan hujan serta memenuhi tiga suku ruang di pintu masuk stesen tersebut.

Kotak tersebut turut menghalang laluan orang ramai ke ruang platform di mana mereka terpaksa berhimpit-himpit semasa waktu puncak.

Di kebanyakan stesen, mesin tersebut diletakkan di laluan tiket automatik, dibungkus dengan pembalut aluminium.


Di stesen Kg Datuk Harun, beberapa ekor anjing liar dan seekor kambing dilihat berada di dalam premis berkenaan.

Kamarul Ariffin, 60, dari Klang yang juga pengguna setia komuter berkata 'wang hilang tanpa dapat dikesan'.

Beliau berkata, adalah sukar diterima apabila mesin yang sepatutnya digunakan untuk menggantikan sistem pembelian tiket dan pagar automatik diletakkan dalam keadaan terbiar di stesen tersebut sejak bertahun-tahun.

"KTMB harus menjelaskan kepada orang ramai dan saya rasa mereka mempunyai masalah untuk menaik taraf sistem tersebut kerana ia adalah mesin elektronik yang sensitif," katanya.


Seorang pembaca StarMetro yang hanya ingin dikenali sebagai Jackie berkata, mesin tersebut dipenuhi habuk dan banyak wang dibazirkan kerana perancangan yang lemah.

Katanya, mesin tersebut bukan sahaja menyempitkan laluan tetapi membawa imej negatif kepada negara kita terutamanya di kalangan pelancong asing.

"Mesin itu mencacatkan pemandangan terutamanya di KL Sentral yang menjadi kawasan tumpuan pelancong," katanya.

komuter, KTMB Berhad

Artikel Lain