suria

Mayat Dua Lelaki Orang Asli Lemas Ditemui

Anggota Bomba dan Penyelamat ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang anggota tentera Prebet Azirin A/L Abdullah, 24, dan rakan sekampungnya, Lizhar A/L Junus, 25.- fotoBERNAMA
IPOH: Mayat dua lelaki Orang Asli yang lemas ketika menjala ikan di sebuah lombong Tronoh, Kampung Timah dekat Batu Gajah, Rabu lepas, ditemui malam Khamis.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata mayat Lizhar A/L Junus, 25, ditemui pada 10 malam sementara mayat Azirin A/L Abdullah, 24, ditemui kira-kira 12.40 malam.

"Kedua-dua mereka ditemui antara 100 hingga 200 meter dari tempat kejadian. Mayat dihantar ke Hospital Batu Gajah," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi semalam, melibatkan 21 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bomba Ipoh dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba Kuala Lumpur serta polis, katanya.

Beliau berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu berlaku ketika mereka sedang mengambil jala yang tersangkut di dalam lombong seluas 2.8 hektar dengan kedalaman 5.7 meter itu.

"Mereka terjun ke dalam lombong dan kemungkinan lemas disebabkan keadaan paras air tinggi ekoran hujan lebat sejak kebelakangan ini," katanya.
Halid Md Zin, mati lemas

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia