suria

Kerajaan Pertimbang Subsidi Rumah Generasi Kedua Felda - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bergamber bersama barisan pemenang Anugerah Belia Felda Malaysia "Meneroka Potensi Mendaya Pembangunan Bangsa" sempena Himpunan Iktiraf 2014 di Dataran Pancarona di sini hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pemberian subsidi sama ada daripada kerajaan atau Felda dipertimbangkan bagi membolehkan generasi baharu Felda memiliki kediaman. 

Ia disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan Himpunan Ikatan Hati Warga Felda Kebangsaan 2014 di sini hari ini, atas keprihatinan menyedari kesukaran generasi kedua memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata mesyuarat perlu diadakan untuk mencari penyelesaian bagi meningkatkan kemajuan pelaksanaan projek perumahan generasi kedua.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh generasi kedua, kata Najib.
 
"Felda perlu memastikan harga rumah generasi kedua adalah yang mampu dimiliki selain perlu ada subsidi sama ada subsidi kerajaan atau subsidi Felda," katanya.
Bagi membantu generasi baharu Felda memiliki kediaman sendiri, perdana menteri berkata Felda mungkin boleh memperkenalkan konsep sewa beli.
 
"Kalau tidak mampu, kita bagi mereka peluang untuk menyewa dulu, dan lepas lima tahun mereka boleh beli, tapi sebahagian besar mereka tidak mempunyai slip gaji dan payah untuk mendapat pinjaman bank," katanya.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak menolak kemungkinan Felda akan memperkenalkan kaedah sewa beli kepada generasi kedua Felda di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda.

Pada tahun lalu, Felda memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bagi memberi peluang kepada generasi kedua untuk memiliki kediaman sendiri.

Najib berkata pemilikan rumah bagi generasi kedua Felda itu adalah antara cabaran dan tugas Felda untuk memelihara kepentingan generasi baharu, sambil menambah antara cabaran yang terlibat adalah berkaitan kos infrastruktur perumahan yang tinggi.
rumah generasi kedua Felda

Artikel Lain