suria

Aktivis Ali Abd Jalil Dakwa Miliki Kad Suaka Politik

Ali Abdul Jalil.

PETALING JAYA: Aktivis yang pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada Isnin, Ali Abdul Jalil, mendakwa dia telah memiliki kad suaka politik daripada kerajaan Sweden.

Dalam posting terbaharu di akaun Facebook miliknya pada Isnin, Ali berkata, sebagai pemohon suaka politik beliau dilindungi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Peraturan Dublin. 

"Saya kini pemegang kad suaka politik, di bawah undang-undan PBB dan Peraturan Dublin. Saya tidak lagi berada di bawah undang-undang Umno dan sistem raja berpelembagaan. Ini bukan Malaysia," katanya. 

Pada 8 September lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana mengkritik sistem raja berpelembagaan. 

Ali bagaimanapun dibebaskan sehari selepas itu dengan jaminan polis, namun beliau ditahan semula dan didakwa atas dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta yang sama. 

Beliau akhirnya dibebaskan pada 29 September lalu.

Pada Oktober, Ali melarikan diri ke Sweden untuk memohon suaka politik, beliau mendakwa tidak dibicarakan dengan adil dan diancam oleh kumpulan gangster serta rasis di Malaysia.

Selain Ali, Jabatan Imigresen pada Isnin telah membatalkan pasport milik penulis blog seks kontroversi, Alvin Tan.

Artikel Lain