SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Berhad dan rakannya, pemilik syarikat perkapalan dituduh bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan dana hampir RM10 juta di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sini, pagi Selasa. Bekas pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, Hood Osman, 46 dan Abdul Jalil Md Tahir, 48, yang juga pemilik syarikat Artisan Jaya Logistics didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang melibatkan RM9,915,158. Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut sekitar Mac 2011 hingga Ogos 2012 di pejabat Kontena Nasional, Petaling Jaya, Selangor. Keduanya melakukan pecah amanah jenayah berkaitan dengan harta tersebut melalui lapan cek dan dua pindahan telegrafi yang mana kedua-duanya mencecah hampir RM10 juta itu. Hood yang diamanahkan mengawal selia dana Kontena Nasional Berhad telah melakukan pecah amanah jenayah melalui lapan cek, masing-masing mengikut pecahan RM1,030,752; RM916,753; RM1,045,002; RM1,137,150; RM1,064,000; RM817,000; RM427,500 dan RM503,500. Jumlah keseluruhan kesalahan pecah amanah jenayah menggunakan lapan keping cek ini membawa jumlah bernilai RM6,941,657. Hood juga didakwa melakukan kesalahan membuat dua pindahan Telegrafi melalui Teller bertarikh 20 Mei 2011 berjumlah RM807,501 dan satu lagi pindahan pada tarikh 14 Jun 2012 berjumlah RM2,166,000. Pindahan kedua-dua telegrafi ini menjadikan jumlah keseluruhan pindahan melalui teller sebanyak RM2,973,501. Kesemua lapan cek dan dua pindahan telegrafi adalah untuk syarikat Abdul Jalil. Dia turut dituduh atas kesalahan seksyen sama kerana bersubahat melakukan pecah amanah jenayah. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Heikal Ismail yang turut mencadangkan kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan passport diserahkan pada mahkamah. Hakim Datuk Noradidah Ahmad kemudian menetapkan jaminan RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, manakala passport diserahkan kepada mahkamah pada tarikh sebutan semula kes pada 6 Januari 2015. Kedua-dua tertuduh akan dibicarakan secara bersama. Tertuduh pertama diwakili Oh Choong Ghee, manakala Mohd Yatim Awang mewakili Abdul Jalil.