suria

Jangan Terpengaruh, Terlibat Dengan Militan IS - Mufti

Datuk Mohamad Shukri Mohamad
KOTA BAHARU: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata umat Islam perlu tahu bahawa ideologi yang dibawa kumpulan militan IS jelas bertentangan dengan agama Islam dan ada kemungkinan gerakan mereka didalangi musuh-musuh Islam.

"Kita tak tahu siapa yang taja dan siapa yang kendalikan... mungkin musuh Islam dan saya nasihat supaya jangan terlibat dalam kegiatan seperti ini, malangnya masih ada kekeliruan dalam kalangan segelintir rakyat yang terpengaruh dengan dakyah kononnya berjuang di Syria adalah cara untuk mati syahid," katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan membunuh diri menggunakan bom dan menyifatkannya sebagai jihad adalah salah lebih-lebih lagi bila tindakan itu menyebabkan orang tidak berdosa seperti wanita dan kanak-kanak turut terkorban.

Ini tidak dituntut oleh agama, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Balai Islam Lundang di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai seorang lagi militan Malaysia terbunuh di Syria selepas dipercayai menjadi pengebom berani mati dengan merempuh kem tentera, membunuh 50 yang lain.

Lelaki dari Kelantan itu dilaporkan berlepas ke Syria pada 27 April lalu dan maut bersama beberapa anggota IS lain ketika menaiki lori membawa bahan letupan dan merempuh kem tentera kerajaan di Homs, Syria.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain